Sunday 20 January 2013

Honda NCX700 & NC700S review

Dalam diam-diam Boon Siew Honda telah melancarkan motosikal siri baharu NC700 di pasaran Malaysia, iaitu dua model berkonsepkan ‘crossover’ dan ‘naked’ – Honda NC700X dan Honda NC700S.

Kuala Lumpur, 16 Januari 2013 – Boon Siew Honda menerajui industri motosikal tempatan sekali lagi dengan pelancaran model canggih NC700X dan NC700S.

Menurut Encik Satoshi Okada, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, penawaran siri NC700 yang merangkumi NC700X, NC700S dan Integra (NC700D) mencerminkan usaha syarikat untuk memperkenalkan pelbagai kategori permotoran baru yang mengujakan dalam pasaran tempatan iaitu Gaya ‘Naked’ , ‘Crossover’ serta Konsep Perantara.

Honda NC700X 

 Model konsep ‘Crossover’ baharu yang direka khas untuk penunggangan dalam bandar dan ‘off-road’





NC700X menawarkan prestasi lasak sebuah motosikal ‘off-road’ dengan gandingan tahap keselesaan, keselamatan dan kemudahan yang didapati dalam motosikal jalanan. Penunggang baru mahupun mereka yang berpengalaman pasti bersetuju bahawa NC700X sememangnya menarik dan praktikal.




Bagi penunggang baru, ciri-ciri pengendalian NC700X yang mudah dikawal meningkatkan lagi kenikmatan permotoran yang mengasyikkan. Manakala prestasinya yang canggih pula menjanjikan keseronokan penunggangan yang tiada taranya buat penunggang berpengalaman.






Enjin sebaris 2 silinder 670cc penyejukan cecair NC700X berteraskan platform kejuruteraan yang serupa dengan NC700S. Enjin binaan khas yang ringan dan padat ini menawarkan penghantaran kuasa yang unggul dengan tahap tork cemerlang pada rpm rendah hingga sederhana.

Untuk mempertingkatkan lagi kecekapan bahan api, enjin NC700X dilengkapkan dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan analisis stoichiometric bagi memastikan nisbah bahan api dan udara yang tepat untuk pembakaran optimum pada semua rpm enjin.

Ciri-ciri mesra alam ini menyumbang kepada kecekapan bahan api yang cemerlang (27.9 km/liter, diuji dalam Mod WMTC) untuk perjalanan tangki penuh sejauh 400km (diuji dalam Mod WMTC) dan juga pengeluaran gas ekzos rendah yang menepati Standard EURO 3.




NC700X disediakan dengan pilihan transmisi 6 kelajuan manual atau Transmisi Dwi Klac Honda generasi kedua. Sistem ini menawarkan kemudahan penukaran gear secara manual dengan pilihan fungsi automatik sepenuhnya – Manual (MT) untuk pengawalan menyeluruh, manakala mod Automatik (AT) pula menawarkan dua tetapan: S untuk tunggangan sport dan D untuk tunggangan harian.

Prestasi brek juga dipertingkatkan dengan Sistem Gabungan Brek Anti Kunci (C-ABS). Ia menggabungkan sistem brek hadapan dan belakang bagi memaksimumkan tekanan pada setiap brek untuk kuasa hentian yang lebih mantap dan selamat. Selain itu, C-ABS juga dilengkapi ciri anti kunci sepenuhnya.

Dengan kelengkapan ruang simpanan dalaman, reraut pelindung serta cermin depan dan kedudukan penunggangan yang mengasyikkan, NC700X sedia memacu anda ke mana sahaja, biarpun tunggangan dalam bandar atau penjelajahan jauh.










Honda NC700X disediakan dalam pilihan warna Hitam Gelap Metalik, Perak Digital Metalik, Putih Mutiara Sunbeam dan Merah Magna.

Honda NC700S 

Model konsep ‘Naked’ baharu untuk penunggangan yang sofistikated

Rekaan NC700S berteraskan matlamat yang mudah – iaitu mencipta sebuah motosikal yang seronok dan mudah ditunggang dengan harga yang berpatutan. Model ini menawarkan ciri-ciri praktikal sebuah motosikal komuter dengan prestasi canggih dan penggayaan konsep ‘naked’.






Nadi kuasa NC700S terdiri daripada enjin serta sistem transmisi yang canggih. Enjin penyejuk cecair dwi silinder sebaris 670cc direka padat bagi menjimatkan ruang dengan pusat graviti yang rendah. Ia menawarkan prestasi cemerlang serta pengeluaran gas ekzos rendah yang menepati Standard EURO 3.

Enjin NC700S menghasilkan kuasa maksimum 35.0kW pada 6,250rpm dengan tork yang unggul sepanjang julat ligatan enjin dengan tahap maksimum mencecah 60.0 Nm @ 4,750rpm. Kecekapan bahan api 27.9km seliter (jenis Transmisi Dwi Klac, diuji dalam Mod WMTC) untuk penunggangan tangki penuh sejauh 400km (diuji dalam Mod WMTC) dicapai dengan kelengkapan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan analisis stoichiometric.

Penghantaran kuasanya begitu lancar, biarpun mereka yang tidak biasa dengan enjin berkapasiti sederhana juga boleh menikmati sepenuhnya prestasi NC700S yang pasti mengujakan.

Enjin NC700S didatangkan dengan pilihan Transmisi Dwi Klac generasi kedua Honda yang menawarkan kemudahan transmisi automatik dengan pilihan mod manual. Ia menggunakan dua klac kawalan elektronik bagi memastikan transmisi yang cepat dan lancar dalam tiga mod – Manual (MT), Automatik (AT) dengan dua tetapan: S untuk tunggangan sport dan D untuk tunggangan dalam bandar dan lebuhraya.




Ringan, berprestasi dinamik dengan ciri pengendalian intuitif, NC700S sememangnya sebuah model konsep ‘naked’ yang mengujakan dan mudah ditunggang untuk para penunggang semua peringkat.

Gabungan kerangka besi konsep berlian, roda aluminium tuangan 17” dan rekaan geometri turut menyerlahkan gaya sepanjang perjalanan. Selain itu, kedudukan tempat duduk yang lebih rendah memudahkan lagi penunggang mengakses motosikal tanpa mengambil kira saiz fizikal penunggang, justeru penunggang kini lebih senang menurunkan kaki ketika menghentikan motosikal.




Kelengkapan Sistem Gabungan Brek Anti Kunci (C-ABS) dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) mempertingkatkan lagi keberkesanan kuasa hentian brek. C-ABS menyelaras pengawalan brek hadapan dan belakang dengan lebih efisien bagi memastikan kelancaran operasi brek. Di samping itu, ABS turut memberi jaminan keselamatan tambahan terutamanya dalam keadaan perjalanan ekstrem dan tidak dijangka.

NC700S didatangkan dengan ruang simpanan dalaman besar yang mampu memuat sebuah topi keledar muka penuh, paparan meter multifungsi digital, roda tuangan aluminium 17” ringan dan tayar lebar (depan 120/70, belakang 160/60). NC700S disediakan dalam warna Perak Metalik Seal, Putih Mutiara Sunbeam dan Hitam Grat.




Harga jualan bilik pameran untuk NC700X (motosikal sahaja) adalah RM53,988 (edisi Standard) dan RM62,088 (versi ABS dengan DCT), manakala NC700S ditawarkan dengan harga jualan bilik pameran sebanyak RM49,888 (edisi Standard) dan RM58,088 (versi ABS dengan DCT).

Kedua-dua model Honda NC700X dan NC700S didatangkan dengan Waranti Pengilang Honda 2 tahun atau 20,000km.


ps.nah belanje sikit video!!!!





















No comments:

Post a Comment